Saturday, September 25, 2010

PENERAPAN PRINSIP KEPIMPINAN DALAM KALANGAN PELAJAR

Pelajar menghabiskan masa yang lama di sekolah, sekurang-kurangnya 6 jam sehari selama 11 tahun secara formal. Guru adalah yang paling rapat didampingi oleh pelajar-pelajar ini. Selain daripada berperanan menyampaikan ilmu, segala tingkah laku guru akan menjadi contoh teladan kepada pelajarnya. Jika hebat kepimpinannya, maka hebatlah anak didiknya kerana pepatah ada menyebut ‘Guru kencing berdiri, murid kencing berlari’. Begitulah pentingnya guru mempunyai suatu bentuk kepimpinan yang boleh menjadi ikutan kepada pemimpin akan datang ini. Kepimpinan merupakan seni mengembangkan keseluruhan bakat dan potensi seseorang ke arah mencapai matlamat yang berinspirasi dan berfaedah (Stephen R.Covey).

Kecerdasan emosi ini tidak perlu diajar secara formal tetapi boleh diterap semasa melaksanakan P&P sebagai salah satu ciri penting dalam membentuk nilai kepimpinan dalam kalangan pelajar. Sebagai contoh, pelajar boleh dilatih untuk membina dan mengendalikan emosi dengan baik melalui aktiviti kerjasama dalam kumpulan bagi topik tertentu di dalam mata pelajaran. Di dalam aktiviti ini, saya akan menggalakkan pelajar berkolaborasi secara positif, memimpin ahli kumpulan, berkomunikasi dengan laras bahasa yang sesuai serta bertanggungjawap kepada hasil dari keputusan yang dibuat secara suara ramai. Program mentor-mentee yang dilaksanakan di mana seorang pelajar dipilih untuk memimpin ahli kumpulan yang sebaik-baiknya dari berbagai bangsa dalam membincangkan sesuatu topik atau isu di dalam mata pelajaran jelas memberikan pulangan yang positif. Di sini didapati semua pelajar termasuk yang selalunya pasif mengambil bahagian dengan bimbingan rakan sebaya. Apabila hasil kerja dibentangkan, semua ahli mempamerkan keperihatinan dan tahu akan tanggungjawab masing-masing.

Saya amat tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Stephen Covey di dalam bukunya ‘The 7 Habits of Highly Effective People’ di mana tujuh tabiat yang dikemukakan adalah berlandaskan prinsip universal yang boleh digunapakai sepanjang zaman tidak kira bangsa mahupun latar belakang. Dalam melaksanakan tugasan harian, samada melalui aktiviti P&P yang dirancang dan lain-lain tugasan di sekolah, tabiat inilah yang saya cuba pamerkan agar dapat menjadi contoh teladan kepada murid dan guru-guru yang lain. Tiga tabiat pertama iaitu ‘Jadilah seorang yang proaktif’, ‘Bermula dengan memikirkan matlamat’ dan ‘Utamakan prioriti’ boleh menjadikan seseorang itu lebih bertanggungjawab, pandai menguruskan hidup, merancang masa depan serta melaksanakan perancangan berlandaskan disiplin dan fokus. Pada tabiat yang keempat, beliau menekankan betapa pentingnya mewujudkan situasi ‘win-win’ sebagai suatu kepimpinan interpersonal yang berkesan. Tabiat kelima iaitu ‘Berusaha untuk memahami dahulu, kemudian untuk difahami’ dan yang keenam iaitu ‘Mempunyai kemahiran bekerja secara kolaboratif (sinergi)’. Tabiat yang ketujuh iaitu ‘Menajamkan gergaji’ melengkapkan tabiat yang lain untuk kita bersedia menghadapi segala cabaran dunia daripada empat dimensi utama iaitu fizikal, sosial / emosi, mental dan rohani. Inilah fokus utama saya dalam membentuk murid yang berdikari melalui aktiviti-aktiviti yang dirancang. Saya berpendapat ini adalah sangat penting supaya modal insan yang dibentuk boleh bertoleransi dengan sama-sama mendapat faedah di dalam semua hubungan kemanusiaan dalam membina sebuah negara yang maju dan dihormati.