My Journal


Date : 20th May 2009

This is a JOURNAL I wrote that I would very much like to share with you. Feel free to comment !!
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA : PENGGUNAAN MULTIMEDIA BERASASKAN KOMPUTER SEBAGAI KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI DALAM MATA PELAJARAN BIOLOGI.

Oleh
Roziah bt Ayub
SMK Gunung Rapat,
31350 Ipoh,
Perak.
ABSTRAK
Guru-guru berada di saf hadapan dalam melahirkan generasi bangsa Malaysia yang mampu bersaing dengan mana-mana bangsa di dalam dunia yang penuh cabaran ini. Penggunaan multimedia di dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Biologi merupakan kaedah penyampaian ilmu yang efektif ke arah meluaskan pengalaman murid untuk menghadapi dunia dengan lebih yakin.

1.0 PENGENALAN
Pendidikan merupakan proses pemerolehan dan pemindahan pengetahuan, nilai murni dan pelbagai kemahiran. Pendidikan bertaraf dunia pula adalah suatu komitment ke arah pendidikan yang berkualiti dengan penekanan kepada kecemerlangan sebagaimana yang diamalkan di negara maju ketika ini. Penggunaan multimedia di dalam mata pelajaran Biologi merupakan salah satu pendekatan yang dapat membantu murid memperolehi pendidikan yang bertaraf dunia dengan berfokuskan kepada penerapan kemahiran berfikir kritis dan kreatif, pemerolehan kemahiran belajar, berkomunikasi, pengurusan kendiri dan pembentukan nilai murni tanpa mengenepikan kecerdasan pelbagai yang ada pada murid. Pengorbanan para guru untuk sentiasa mempertingkatkan diri dengan ilmu dan kemahiran demi membina modal insan cemerlang adalah selari dengan matlamat kerajaan untuk membina sebuah negara bangsa, selaras dengan gagasan 1Malaysia; rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan, yang dihasilkan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib b Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.


2.0 SISTEM MULTIMEDIA DAN APLIKASI DALAM P&P
Multimedia merupakan satu gabungan teks, grafik, audio, video dan animasi yang digunakan untuk mempersembahkan maklumat. Dengan gabungan kelima-lima elemen ini di dalam pengajaran, guru boleh mewujudkan suasana pembelajaran yang lengkap dengan persembahan audio-visual. Keadaan ini mampu menarik minat serta merangsangkan deria murid sambil mampu melayani pelbagai gaya pembelajaran yang ada pada mereka. Penerapan elemen interaktiviti yang terancang akan melengkapkan proses komunikasi semasa pengajaran dan pembelajaran.
Pengajaran merupakan methodologi atau strategi yang dipilih guru dalam menyusun maklumat, aktiviti, pendekatan atau media untuk membantu murid mencapai objektif yang dinyatakan. Pembelajaran pula adalah perubahan kelakuan pada murid sebagai kesan daripada interaksi dengan persekitaran. Walau pun seseorang murid dikatakan bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri tetapi guru juga memainkan peranan penting sebagai penggalak dalam pemudahcara melalui pembentangan strategi pengajaran dan pembelajaran.
Di dalam penggunaan multimedia, murid boleh diberikan tugasan menyediakan persembahan kumpulan di dalam bentuk MSPowerPoint dan MSPublisher. Selain menerapkan kemahiran ICT, murid juga membina keyakinan diri, dapat berinteraksi dengan rakan-rakan secara sihat serta belajar menghasilkan dokumen seperti ’newsletter’ dan ’brochure’ di dalam pembelajaran Biologi.


2.1 TEKS
Walau pun terdapat elemen yang lebih menarik dan dinamik, namun teks masih diperlukan sebagai elemen utama dalam proses penyampaian maklumat. Di dalam konteks penyampaian konten di dalam mata pelajaran Biologi, penekanan kepada kata kunci atau ’terminologies’ dapat mewujudkan pemikiran yang terarah terhadap konten. Teks amat penting sekiranya penerangan yang jelas dan berfokus perlu diberikan kepada pelajar di mana penggunaan elemen lain gagal mencapai matlamat ini.
2.2 GRAFIK
Grafik merupakan pelbagai persembahan imej atau paparan visual yang tidak bergerak seperti gambarfoto, rajah, lakaran, jadual, graf, carta perbandingan dan peta minda. Ianya mempunyai kuasa menyampaikan banyak maklumat yang mungkin mengambil banyak mukasurat apabila dipersembahkan dalam bentuk teks. Selain boleh digunakan di dalam penyampaian P&P, grafik juga menjadi alat kemahiran berfikir untuk merancang,mengurus, meneliti, menganalisis atau menghasilkan sesuatu ide pemikiran yang lebih sistematik dan berkesan. Dengan penggunaan grafik, maklumat yang disampaikan adalah lebih pantas dan tepat memandangkan ia disampaikan di dalam bentuk visual. Peta minda tentang ’Interaction’ memberikan gambaran jelas tentang hubungkait berbagai konten berkaitan di dalam satu mukasurat.
2.3 AUDIO
Ia biasa digunakan untuk menghasilkan suara, muzik atau kesan latar belakang kepada persembahan multimedia. Ia dapat membantu proses penyampaian persembahan dengan memberikan impak yang lebih mantap dan berkesan. Ia didapati berjaya mendapatkan tumpuan terhadap konten yang disampaikan. Audio yang baik seharusnya mempunyai kuasa kawalan seperti ketinggian audio dan memberhentikan audio supaya guru boleh mencelah apabila terdapat bahagian yang memerlukan penerangan lanjut daripada guru. Lagu tentang ’Pollution’ yang dimainkan dengan paparan lirik dapat menyedarkan murid tentang kepentingan penjagaan alam sekitar.

2.4 VIDEO
Video merupakan elemen multimedia yang paling dinamik dan juga realistik berbanding elemen lain. Penggunaan video dalam proses penyampaian maklumat berupaya mempengaruhi motivasi seseorang terhadap proses penerimaan maklumat. Video berjaya membawa unsur realistik atau keadaan sebenar kepada murid. Ini secara tidak langsung mempengaruhi perasaan dan emosi murid dengan lebih nyata. Paparan video di paya bakau dan video tentang ’biodiversity’ sudah tentu dapt memberikan persekitaran sebenar yang sukar dicapai melalui penerangan.

2.5 ANIMASI
Animasi merujuk kepada suatu proses menjadikan sesuatu objek kelihatan hidup atau memberi gambaran dinamik kepada sesuatu yang pada dasarnya adalah statik. Animasi membolehkan sesuatu yang agak sukar disampaikan melalui perkataan atau imej statik disampaikan dengan lebih mudah dan berkesan di samping menceriakan proses penyampaian guru. Animasi membolehkan proses membuat hubungan atau perkaitan mengenai sesuatu konsep atau proses yang kompleks lebih mudah dipetakan ke dalam minda murid dan seterusnya membantu dalam proses pemahaman. Animasi digital terutamanya digunakan bagi menangani keadaan di mana persekitaran yang sebenarnya sukar atau tidak boleh disediakan, membahayakan ataupun mungkin melibatkan kos yang tinggi. Contoh animasi interactive yang paling menarik di dalam Biologi ialah seperti ‘Click and Clone’ dan ‘Factors affecting the rate of transpiration’.

3.0 DAPATAN KAJIAN
Daripada kajian yang telah dijalankan terhadap sekumpulan murid Tingkatan 5 2009, di SMK Gunung Rapat, Ipoh, didapati bahawa kaedah multimedia dapat memberi kesan positif terhadap mengingat kata kunci bagi sub-topik ‘The movement of water from the soil to the leaves’. Daripada pengalaman mengajar topik yang lain menggunakan kaedah ini saya mendapati ia juga mampu membina keyakinan pelajar tentang keupayaan belajar mereka di samping mewujudkan suasana ceria dan menyegarkan ketika proses P&P berlaku. Potensi setiap murid dapat dikembangkan melalui layanan yang berkesan terhadap kecerdasan pelbagai yang dimiliki seterusnya memudahkan pembelajaran yang berasaskan konstruktivisme.
Daripada sesi temu ramah pihak EDUWEBTV ke atas beberapa orang calon Biologi SPM 2008, SMK Gunung Rapat, Ipoh di segmen Pendidik Episod 4, menunjukkan murid berpendapat bahawa P&P yang saya amalkan dengan menggunakan multimedia berasaskan komputer sentiasa menjadi penggalak kepada mereka untuk hadir ke kelas kerana mendapati kaedah ini lebih menyeronokkan dan mereka dapat menerima pengajaran dengan lebih berkesan berbanding dengan kaedah P&P yang lain.
Dalam beberapa kajian yang dijalankan ( Funkhouser, 1993; Henderson and Landersman, 1992; Chazan,1988; Mc Coy, 1991; Al Ghamdi, 1987 ) di dapati bahawa murid yang menggunakan multimedia di dalam proses pembelajaran mempunyai sikap yang lebih positif terhadap dirinya dan berupaya berfikir secara kritikal untuk masalah yang lebih kompleks. Di samping itu mereka juga mempunyai kemampuan mengekalkan maklumat dalam jangka masa yang lebih lama dan dapat menggunakannya di bidang-bidang lain.


4.0 PENUTUP
Daripada dapatan psikologi kognitif, seseorang pelajar akan ingat 10% daripada apa yang dibaca, 20% daripada apa yang didengar, 30% daripada apa yang dilihat, 50% daripada apa yang didengar dan dilihat serentak, 70% daripada apa yang disuarakan sendiri dan 90% daripada apa yang disuarakan dan dilakukan sendiri (Rief,1993). Penggunaan multimedia terutamanya multimedia interaktif di dalam P&P Biologi didapati mampu mengembangkan potensi murid secara maksimum, sekali gus berjaya membentuk modal insan yang berdaya saing serta boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mana-mana bangsa di dalam dunia. Penyampaian ilmu menggunakan multimedia secara sistematik dan terancang dapat meluaskan pengalaman murid agar dapat menghadapi dunia dengan lebih yakin. Aplikasi kaedah ini dapat memantapkan kurikulum di sekolah menengah bagi mengukuhkan program membina kualiti pendidikan menengah bertaraf dunia dan haruslah dieksploitasi sepenuhnya di dalam sistem pendidikan untuk kepentingan penghasilan modal insan cemerlang ke arah 1Malaysia.


BIBLIOGRAFI
1. Perutusan Menteri Pelajaran Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. (16 Mei 2009).
Bersempena
Perayaan Hari Guru 2009, Guru Pembina Negara Bangsa. Office of the Prime Minister of Malaysia.

2. Dr Ismail Zain. (2001). Pendidikan Bertaraf Dunia Ke Arah Pembestarian dalam proses
Pengajaran dan Pembelajaran, Utusan Malaysia.
3. Baharuddin Aris, Rio Sumarni Shariffudin, Manimegalai Subramaniam, Noor Azean Atan, Shaharuddin Md Salleh, Norasyikin Mohd Zaid, Zaleha Abdullah. (2008). How to Design Multimedia Web Aplications : Theory Into Practice. Venton Publishing (M) Sdn. Bhd.

4. Aplikasi penggunaan Multimedia di dalam Pendidikan. Jurnal Pendidikan.

5. Giam Kah How, Maktab Perguruan Seri Kota (2000). Gaya Pembelajaran dan Penggunaan
Multimedia di dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Jurnal Pendidikan Jilid 2 Bil 3. http://apps.emoe.gov.my/ipba/rdipba/cd1/article99.pdf